Articles Tagged ‘Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor - Program Mei 2016’

Lawatan Pemantauan Pengurusan Pentadbiran Dan Kewangan (i-COMPLY) Bilangan 2 Tahun 2016


Lawatan Pemantauan Pengurusan Pentadbiran dan Kewangan (i-Comply) telah diadakan pada 3 hingga 5 Mei 2016. Seramai tiga orang pegawai dari Unit Integriti diketuai oleh Cik Waheeda binti Mohd Idris, Ketua Juru Audit, dua orang Unit Kewangan dan dua orang Unit Pentadbiran telah hadir semasa sesi lawatan ini. Tujuan lawatan pemantauan dijalankan adalah untuk meningkatkan lagi kualiti pengurusan pentadbiran dan kewangan dengan memastikan kawalan dalaman dan pematuhan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam pengurusan pentadbiran dan kewangan telah dilaksanakan dengan baik dan sempurna.

Pengauditan ini merangkumi lapan elemen utama iaitu Kawalan Pengurusan, Kawalan Terimaan, Kawalan Perbelanjaan, Kawalan Akaun Amanah & Deposit, Kawalan Perolehan, Kawalan Kenderaan, Kawalan Bajet, Kawalan Aset/Stor. Semakan yang dibuat meliputi tempoh tahun 2015 dan sehingga bulan Mei 2016 serta tahun-tahun terdahulu di mana perlu. Pengauditan dilaksanakan dengan beberapa kaedah iaitu menyemak rekod dan dokumen kewangan, temu bual dengan pegawai yang terlibat serta pemeriksaan fizikal dijalankan untuk memperkukuhkan ketepatan penemuan Audit.

Beberapa penemuan telah dikenal pasti dan telah dibentangkan semasa sesi Exit Conference pada 5 Mei 2016 kepada semua ketua seksyen/unit/zon yang terlibat. Pihak PPPNS telah diminta untuk mengemukakan maklum balas terhadap penemuan yang telah dibentangkan dalam tempoh 14 hari selepas penerimaan hardcopy laporan penemuan pengauditan PPPNS. Semasa sesi tersebut juga YBhg. Dato’ Mohd. Rosli bin Ramli, Pegawai Kemajuan Negeri Selangor telah memberikan ucapan sebagai penutup lawatan. 


Lawatan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPNg) Selangor ke Klinik Desa Padang Jawa, Klang


Lawatan ini telah diketuai oleh Pengerusi MTPNg Selangor, YB Tan Sri Haji Noh bin Haji Omar bagi memantau projek menaiktaraf Klinik Desa Padang Jawa, Klang yang telah siap sepenuhnya dan telah beroperasi pada 11 April 2016. Lawatan ini turut dihadiri oleh Pegawai Kemajuan Negeri Selangor, YBhg. Dato’ Mohd Rosli bin Ramli, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Malaysia, Pegawai PPPNS, Wakil Kementerian Kesihatan Malaysia, Pegawai Kesihatan Daerah, YDP JKKKP Parlimen Shah Alam, Pengerusi-pengerusi JKKKP Padang Jawa dan lain-lain.

Klinik Desa (KD) Padang Jawa, Klang telah dibina pada tahun 1970. Bangunan ini diperbuat daripada kayu sepenuhnya dengan keluasan bangunan 324.65m² yang meliputi sebuah bangunan klinik desa dan 2 unit kuarters. Keluasan kawasan klinik dan kuarters adalah 1,035m²  (0.1035 hektar). Bangunan KD dan kuarters telah dirobohkan dan dibina semula dengan menggunakan konsep IBS pada 21 Disember 2015 dengan kos sebanyak RM518,828.34 melalui kelulusan peruntukan BP00600 Tahun 2015 di bawah Kementerian Kesihatan.

Walau bagaimanapun, bangunan kuarters tidak dibina semula. Waktu operasi adalah dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Pada masa ini, kedatangan pesakit yang mendapatkan rawatan adalah antara 60 hingga 70 orang sehari. Perkhidmatan yang disediakan oleh klinik ini adalah rawatan kesihatan ibu hamil, rawatan ibu dan anak selepas bersalin, kesihatan kanak-kanak, kesihatan perancang keluarga, perkhidmatan lawatan ke rumah, khidmat kaunseling serta promosi kesihatan.


Majlis Penyerahan Peralatan Perniagaan Kepada Penerima Kiosk Penjaja Bergerak Bandar, Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bagi Parlimen Selayang Dan Parlimen Gombak


Pada 20 Mei 2016 (Jumaat),  jam 10.00 pagi telah diadakan Majlis Penyerahan Peralatan Perniagaan kepada penerima kiosk penjaja bergerak bandar, KPKT.  Dua orang peserta tersebut ialah Pn. Siti Zauyah binti Abdul Khalip dari Parlimen Selayang dan Pn. Salbiah binti Jaafar dari Parlimen Gombak. Majlis diadakan di kedua-dua rumah penerima. 

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Y.B. Datuk Abdul Shukur bin Idrus, Y.B. ADUN Kuang  bagi penerima kawasan Parlimen Selayang manakala Haji Abdul Rahim bin Kamaruddin, YDP JKKKP Parlimen Gombak bagi penerima di kawasan Parlimen Gombak. Majlis penyerahan ini dihadiri oleh pegawai-pegawai daripada ICU JPM Zon Gombak dan Hulu Selangor, Pengerusi JKKKP dan penduduk setempat. Pada kedua-dua majlis penyerahan dimulakan dengan ucapan aluan daripada PTP kawasan masing-masing dan bacaan doa seterusnya penyerahan peralatan kepada peserta.


Mei 2016