Articles Tagged ‘Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor - Program Jun 2016’

Majlis Berbuka Puasa & Tadarus Perdana YAB Perdana Menteri Bersama Rakyat Negeri Selangor


Pada 9 Jun 2016 (Khamis), telah diadakan Majlis Berbuka Puasa & Tadarus Perdana YAB Perdana Menteri Bersama Rakyat Negeri Selangor bertempat di di Masjid Ma’muniah Simpang Lima, Sungai Nibong. Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNg), YB Tan Sri Haji Noh bin Haji Omar, pemimpin-pemimpin tempatan persekutuan, ketua-ketua jabatan dan masyarakat setempat.

Dianggarkan seramai 3000 orang rakyat Sungai Besar hadir memeriahkan majlis tersebut. Selesai solat maghrib dan berbuka puasa, YAB Perdana Menteri turut menunaikan Solat Tarawikh di Masjid Al-Mukmin, Parit 12, Sungai Nibong.


Majlis Iftar Mobile Team Qaseh Ramadhan Negeri Selangor Tahun 2016


Majlis Iftar Mobile Team Qaseh Ramadhan Negeri Selangor Tahun 2016 telah diadakan pada 29 Jun 2016 di Parlimen     Puchong, DUN Seri Serdang bertempat di Masjid Riyadhus Solihin, Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan. Majlis bermula dari jam 4.45 petang sehingga selesai solat tarawih dan jamuan makan moreh. Sambutan program ini adalah sangat menggalakkan di mana angaran sebanyak 700 orang tetamu telah hadir menjayakan program ini daripada jangkaan asalnya sebanyak 500 orang.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Mohd Rosli bin Ramli, Pegawai Kemajuan Negeri Selangor bersama Yang DiPertua JKKKP/JPP Parlimen Puchong, YBhg. Dato’ Mohd Satim bin Diman. Seramai 3 buah keluarga eKasih yang berstatus Miskin dan Miskin Tegar di sekitar kawasan Taman Serdang Jaya telah dilawati bersama agensi pemberi bantuan yang terlibat iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Subang, Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Selangor, Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW, Cawangan Negeri Selangor), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) DUN Seri Serdang, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan   Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Selangor. 

Mereka yang dilawati adalah terdiri daripada keluarga eKasih Miskin dan Miskin Tegar di mana di antaranya adalah Orang Kurang Upaya (OKU) dan orang tua yang uzur sakit terlantar. Keluarga tersebut dilawati sambil diberi rawatan kesihatan asas oleh pihak LPPKN Negeri Selangor di samping jabatan/agensi yang lain masing-masing mendapatkan maklumat bagi memberi pertimbangan bantuan yang sewajarnya kepada ahli keluarga tersebut.           

Majlis Iftar Pogram Mobile Team Qaseh Ramadhan juga telah dimeriahkan lagi dengan slot bicara ilmu yang telah disampaikan oleh Ustaz Syamsul Amri Hj Ismail @ Syamsul Debat, penceramah agama di slot TV Al-Hijrah. Majlis diakhiri dengan Solat Isyak dan Solat Tarawikh seterusnya ke jamuan moreh. Program ini telah mendapat liputan media iaitu TV Al-Hijrah dan Sinar Harian.Di samping itu, keluarga yang terlibat telah menerima bantuan duit raya serta barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, bihun, tepung, susu dan sebagainya. 

Selain itu, bantuan bagi keperluan raya seperti ketupat segera, kuih raya, beserta sumbangan baju raya juga turut diberikan kepada keluarga tersebut. Program ini juga telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran pihak pengurusan Bank Muamalat yang turut juga memberi sumbangan berbentuk keperluan asas, keperluan raya beserta sumbangan duit raya kepada peserta eKasih ini. Sebaik sahaja selesai Program Mobile Team Qaseh Ramadhan, semua peserta program yang terlibat dan VVIP bersama-sama hadir ke Majlis Iftar yang berlangsung di perkarangan Masjid Riyadhus Solihin dengan aturcara majlis dimulakan dengan majlis penyerahan sumbangan duit raya dan penyerahan sumbangan beras dari BERNAS kepada sejumlah 97 tetamu yang diraikan dari kalangan anak yatim, orang kecacatan upaya (OKU), warga emas yang perlu dibantu dan ibu tunggal yang kematian suami. Sumbangan ini telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Mohd Rosli bin Ramli, Pegawai Kemajuan Negeri Selangor bersama-sama Yang Dipertua JKKKP/JPP Parlimen Puchong, YBhg. Dato’ Mohd Satim bin Diman.

Selain dari itu, program ini turut dimeriahkan dengan program memasak bubur lambuk yang ditaja oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN). Penglibatan menyeluruh agensi pemberi bantuan yang terlibat dalam Mobile Team dan kakitangan PPPN Selangor, ICU JPM serta penduduk setempat dalam gotong-royong bersama-sama menjayakan program ini bermula dari penyediaan bubur lambuk, pembungkusan dan seterusnya mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk setempat dan beberapa pejabat unit beruniform seperti bomba, polis dan stesen pam-pam minyak yang berdekatan di mana sebanyak 700 bungkus telah diagihkan.


Wacana Isu Semasa Negara Bersama Penjawat Awam


Wacana Isu Semasa Negara Bersama Penjawat Awam telah diadakan pada 15 Jun 2016 bertempat di Sekolah Agama Menengah Pasir Panjang, Tali Air 10, Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor. Majlis anjuran PPPNS ini telah mendapat kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam bagi penyertaan para pendidik/pentadbir sekolah dan pihak Sekolah Agama Menengah Pasir Panjang bagi penyediaan lokasi. Seramai 350 orang penjawat awam daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor telah hadir semasa sesi wacana ini. 

Antara panel yang telah menjayakan wacana adalah seperti YBhg. Datuk Ibrahim Saad, Ketua Pengarah Biro Tatanegara bagi tajuk Negara Bernama Malaysia, YBhg. Dato’ Ayob Mydin Pitchay Ketua Penolong Pengarah E8, Counter Terrorism, PDRM bagi tajuk Isu-Isu Keselamatan dan Ancaman IS dan Tuan Arul Kanda, Presiden 1MDB bagi tajuk 1MDB Masalah Bisnes Yang Dipolitikkan. Manakala YBhg. Datuk Zaini Hassan, Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan telah dilantik sebagai moderator bagi wacana ini. 

Para peserta wacana telah mendapat pendedahan dan informasi yang berguna dalam sesi wacana dan sesi soal jawab juga hangat dibicarakan bagi mengupas isu-isu semasa terutamanya yang berkaitan 1MDB. Wacana yang berinformatif ini berakhir pada jam 1.30 petang dengan kupasan ringkas daripada moderator.