Articles Tagged ‘Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor - ICU Koprojaya’

Karnival Sukan Negara ICU Koprojaya Tahun 2016


Karnival Sukan Negara ICU Koprojaya adalah sukan tahunan yang dianjurkan oleh ICU JPM bersempena dengan penganjuran Hari Sukan Negara di seluruh Malaysia. Sukan ini melibatkan kesemua jabatan dan pejabat di bawah ICU JPM yang dibahagikan kepada 8 zon. Selain itu, ia turut dimeriahkan dengan penyertaan Koperasi Profesional Putrajaya (KOPROJAYA) sebagai penganjur bersama karnival pada tahun ini. 

Bagi tahun 2016, Zon Tengah telah diwakili oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor, PPPN Perak dan PPPN Wilayah Persekutuan. Sebanyak sembilan acara telah dipertandingkan pada sukan kali ini iaitu sukan VVIP melibatkan golf dan bowling manakala sukan kontinjen pula terdiri daripada bola sepak, bola jaring, bola tampar lelaki & wanita , pingpong, badminton dan karom.

Karnival ini telah berlangsung dari 6 sehingga 9 Oktober 2016 di Institut Penilaian Negara (INSPENS), Bangi, Selangor. Zon Tengah telah menghantar seramai 86 pemain bagi kesemua acara yang dipertandingkan dengan penyertaan dari  ketiga-tiga PPPN. Sepanjang karnival ini berlangsung, kontinjen Zon Tengah telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dan membanggakan. 

Selain program sukan yang dipertandingkan, karnival ini juga turut diselitkan dengan beberapa sesi perkongsian ilmiah dari beberapa tokoh sukan negara seperti YBhg. Dato’ Seri Diraja Jailani Sidek dan YBhg. Dato’ Razif Sidek. YAB Perdana Menteri juga turut hadir bagi menunjukkan sokongan beliau terhadap penganjuran program kesukanan di samping dapat beramah-mesra bersama para pemain.

Berbekalkan kesungguhan dan semangat tidak mudah kalah, Zon Tengah telah melakar sejarah dengan merangkul 2 kejuaraan  iaitu dalam acara pingpong dan badminton selepas masing-masing berjaya mengenepikan KOPROJAYA di peringkat akhir. Sesungguhnya ini merupakan kejuaraan yang julung-julung kalinya dicapai oleh Kontinjen Zon Tengah. Semoga kenangan manis ini dapat memberikan suntikan semangat baru untuk mencapai kemenangan yang lebih baik di dalam acara lain pada masa akan datang. 


Lawatan Pegawai Kemajuan Negeri Selangor Ke Lokasi Ban Pecah Di Batu 5 Kapar Klang


20 Oktober 2016 - YBhg. Dato Mohd Rosli bin Ramli, Pegawai Kemajuan Negeri Selangor telah mendakan satu lawatan ke lokasi ban pecah di Batu 5, Kapar, Klang bagi mendapatkan pencerahan mengenai langkah-langkah sedang dan akan yang diambil oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Klang dalam menangani masalah ini di samping melihat impak air pasang besar dan ban pecah terhadap penduduk setempat. Lawatan ini juga turut dihadiri oleh Ir. Hj. Mohd Nazri Bin Yasmin, Jurutera Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Klang, En. Mansor bin Jusoh, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Pembangunan Masyarakat dan Institusi PPPN Selangor, En. Amiruddin bin Abd. Rahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Teknikal PPPN Selangor, En. Mohd Nasrieq bin Mohd Sarip Yadin, Penolong Pengarah, Unit Projek Khas PPPN Selangor, Pn. Siti Zubaidah bt Mohamad, Pegawai Kemajuan Zon Klang Dan Kuala Langat PPPN Selangor dan JKKKP Kampung Batu 4 dan JKKKP Kapar, Klang.