Articles Tagged ‘Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor - Program Okt 2016’

Karnival Sukan Negara ICU Koprojaya Tahun 2016


Karnival Sukan Negara ICU Koprojaya adalah sukan tahunan yang dianjurkan oleh ICU JPM bersempena dengan penganjuran Hari Sukan Negara di seluruh Malaysia. Sukan ini melibatkan kesemua jabatan dan pejabat di bawah ICU JPM yang dibahagikan kepada 8 zon. Selain itu, ia turut dimeriahkan dengan penyertaan Koperasi Profesional Putrajaya (KOPROJAYA) sebagai penganjur bersama karnival pada tahun ini. 

Bagi tahun 2016, Zon Tengah telah diwakili oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor, PPPN Perak dan PPPN Wilayah Persekutuan. Sebanyak sembilan acara telah dipertandingkan pada sukan kali ini iaitu sukan VVIP melibatkan golf dan bowling manakala sukan kontinjen pula terdiri daripada bola sepak, bola jaring, bola tampar lelaki & wanita , pingpong, badminton dan karom.

Karnival ini telah berlangsung dari 6 sehingga 9 Oktober 2016 di Institut Penilaian Negara (INSPENS), Bangi, Selangor. Zon Tengah telah menghantar seramai 86 pemain bagi kesemua acara yang dipertandingkan dengan penyertaan dari  ketiga-tiga PPPN. Sepanjang karnival ini berlangsung, kontinjen Zon Tengah telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dan membanggakan. 

Selain program sukan yang dipertandingkan, karnival ini juga turut diselitkan dengan beberapa sesi perkongsian ilmiah dari beberapa tokoh sukan negara seperti YBhg. Dato’ Seri Diraja Jailani Sidek dan YBhg. Dato’ Razif Sidek. YAB Perdana Menteri juga turut hadir bagi menunjukkan sokongan beliau terhadap penganjuran program kesukanan di samping dapat beramah-mesra bersama para pemain.

Berbekalkan kesungguhan dan semangat tidak mudah kalah, Zon Tengah telah melakar sejarah dengan merangkul 2 kejuaraan  iaitu dalam acara pingpong dan badminton selepas masing-masing berjaya mengenepikan KOPROJAYA di peringkat akhir. Sesungguhnya ini merupakan kejuaraan yang julung-julung kalinya dicapai oleh Kontinjen Zon Tengah. Semoga kenangan manis ini dapat memberikan suntikan semangat baru untuk mencapai kemenangan yang lebih baik di dalam acara lain pada masa akan datang. 


Lawatan Audit MS ISO:2008 ICU JPM


15-16 November 2016 - Pasukan Audit daripada Ibu Pejabat ICU JPM telah hadir ke PPPN Selangor untuk membuat pemantauan Audit MS ISO:2008.


Lawatan Pegawai Kemajuan Negeri Selangor Ke Lokasi Ban Pecah Di Batu 5 Kapar Klang


20 Oktober 2016 - YBhg. Dato Mohd Rosli bin Ramli, Pegawai Kemajuan Negeri Selangor telah mendakan satu lawatan ke lokasi ban pecah di Batu 5, Kapar, Klang bagi mendapatkan pencerahan mengenai langkah-langkah sedang dan akan yang diambil oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Klang dalam menangani masalah ini di samping melihat impak air pasang besar dan ban pecah terhadap penduduk setempat. Lawatan ini juga turut dihadiri oleh Ir. Hj. Mohd Nazri Bin Yasmin, Jurutera Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Klang, En. Mansor bin Jusoh, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Pembangunan Masyarakat dan Institusi PPPN Selangor, En. Amiruddin bin Abd. Rahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Teknikal PPPN Selangor, En. Mohd Nasrieq bin Mohd Sarip Yadin, Penolong Pengarah, Unit Projek Khas PPPN Selangor, Pn. Siti Zubaidah bt Mohamad, Pegawai Kemajuan Zon Klang Dan Kuala Langat PPPN Selangor dan JKKKP Kampung Batu 4 dan JKKKP Kapar, Klang.


Program Dialog Isu Semasa Negara (DISN) Peringkat Negeri Selangor Tahun 2016


27 Oktober 2016 - Program Dialog Isu Semasa Negara (DISN) Peringkat Negeri Selangor Tahun 2016 telah berjaya dilaksanakan pada 27 Oktober 2016 di Dewan Utama IPK Selangor, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor. Program ini telah dianjurkan oleh PPPN Selangor sebagai hos program dan dibantu oleh Biro Tatanegara sebagai penyelaras dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor (IPK Selangor) sebagai penyedia lokasi. Seramai 671 orang peserta telah hadir dalam program tersebut meliputi semua jabatan/agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Pejabat Daerah/Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) seluruh negeri Selangor.

Seramai empat orang panel dan seorang moderator telah dijemput khas bagi program ini  iaitu YBhg. Datuk Mohd Zaini bin Hassan, Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan. Panel pertama adalah YBhg. Datuk Ibrahim Saad, Ketua Pengarah Biro Tatanegara bagi tajuk Isu-Isu Semasa, panel kedua adalah YBhg. Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Penolong Pengarah E8, Counter Terrorism, PDRM bagi tajuk Keselamatan, Encik Amran bin Alias Ketua Seksyen, Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz, Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang & Politik (SYARAK) di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan tajuk “Perlembagaan Persekutuan”. Turut hadir dalam program tersebut adalah Dr. Hj. Hanafi bin Hj. Harun, Pengarah Bahagian Birokrat dan Korporat, BTN.

Program ini merupakan hasil inisiatif Pejabat Perdana Menteri yang ingin mengupas isu-isu semasa negara dalam bentuk dialog. Objektif program ini adalah untuk memberi penjelasan mengenai isu semasa kepada penjawat awam/rakyat dan seterusnya menjelaskan kefahaman sesuatu dasar itu dilaksanakan. Peserta-peserta dapat berinteraksi dengan semua panel yang telah dijemput khas dalam bidang masing-masing bagi menjelaskan kekeliruan serta mengetahui dengan lebih lanjut persoalan dan isu semasa yang melibatkan peserta secara langsung terutamanya mengenai isu kos sara hidup rakyat, status sebenar ancaman Islamic State (IS) di Malaysia, pentingnya Perlembagaan kepada semua rakyat dan isu semasa yang melibatkan Kerajaan. 


Seminar Antarabangsa Wasatiyyah


24-25 Oktober 2016 - Seminar Antarabangsa Wasatiyyah dianjurkan oleh Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) Jabatan Perdana Menteri telah diadakan di INTEKMA Resort, Shah Alam. Seminar ini berlangsung selama 2 hari yang dirasmikan oleh Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada malam 24 Oktober 2016. Manakala Perasmian Penutup dirasmikan oleh YB Dato Jailani Bin Johari, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 25 Oktober 2016.