Articles Tagged ‘Selangor State Federal Development Office - Baik Pulih Rumah’

Lawatan Kerja Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ke DUN Lembah Jaya


3 Oktober 2017 - Menteri KPKT, YB Tan Sri Noh Omar telah mengadakan lawatan kerja di beberapa buah kawasan perumahan kos rendah di Ampang pada 3 Oktober 2017 yang lalu. Beliau turut meluluskan peruntukan RM10.3 juta bagi tujuan membaiki lif, tangki air serta kerja-kerja mengecat yg melibatkan 22 buah rumah pangsa di sekitar DUN Lembah Jaya. Lawatan kerja ini adalah inisiatif pihak kementerian dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor bagi meninjau permasalahan dan menyelesaikan isu-isu yang mengganggu kesejahteraan rakyat.

Selain itu, ruang dialog di antara menteri bersama penduduk juga diadakan bagi mendengar luahan dan pandangan penduduk di kawasan tersebut. Turut hadir, Koordinator Parlimen Ampang, Dato’ Ismail bin Kijo dan Pegawai Kemajuan Daerah Hulu Langat, En. Shamsul bin Abu Bakar.  


Program Bantuan Baik Pulih Rumah Secara Gotong Royong Touch Point ICU JPM Peringkat Parlimen Kuala Langat


17 September 2017 - Program Bantuan Baik Pulih Rumah Secara Gotong Royong (BBPR) Touch Point ICU JPM Tahun 2017 di Parlimen Kuala Langat dilaksanakan di 10 buah rumah di Parlimen Kuala Langat. Pelancaran program peringkat Parlimen Kuala Langat ini telah dirasmikan oleh YBhg Dato’ Haji Sulaiman bin Haji Mohd Karli, Yang DiPertua JKKKP Parlimen Kuala Langat merangkap Koordinator DUN Sijangkang. Sepuluh buah rumah telah dipilih untuk pelaksanaan baik pulih melibatkan lapan buah kampung iaitu Kampung Melayu Pulau Carey, Kampung Jenjarom, Kampung Sungai Rambai, Kampung Kanchong Tengah, Kampung Bandar, Kampung Sawah, Kampung Medan dan Kampung Sungai Buaya. Program Bantuan Baik Pulih Rumah ini bertujuan bagi meningkatkan impak sosial kepada isi rumah yang terlibat dan keberhasilan yang disasarkan adalah peningkatan kualiti kehidupan golongan sasar.

Program ini dilaksanakan secara gotong-royong yang melibatkan agensi kerajaan seperti Pejabat Pertahanan Awam Malaysia Daerah Klang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Langat, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Kuala Langat, Majlis Belia Selangor Daerah Kuala Langat, Kelab Beliawanis Seri Sepang, Pusat GIATMARA Kuala Langat, JKKKP serta penduduk kampung. Kerja-kerja baik pulih adalah melibatkan kerja baik pulih asas seperti membaik pulih bumbung rumah, siling, cat luar dan dalam rumah, membaiki papan lapis dinding, tingkap, pendawaian elektrik dan membina tandas.  


Program M-Espirit De Corps (MEdC) ICU JPM Gotong-royong Jalinan Qaseh #JomBaikiRumah


16 September 2017 - Seramai 80 orang sukarelawan ICU JPM Putrajaya dan Pejabat Kemajuan Zon Sepang & Hulu Langat telah terlibat dalam menjayakan Program GotongRroyong #Jombaikirumah pada 16 September 2017 yang lalu. Program ini telah dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Strategik) ICU JPM, Dato’ Zolkopli bin Dahalan bersama-sama dengan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pusat Transformasi Penyampaian), Dr. Shahrazat binti Hj Ahmad dan Pegawai Kemajuan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Rosli bin Ramli.

Program ini melibatkan kerja-kerja baik pulih rumah kepada tiga penerima iaitu Pn. Roslina binti Dimah dan En. Mohd Yusof bin Sanusi dari Kampung Jenderam Hilir, Dengkil serta En. Samat bin Othman dari Kampung Tok Aminuddin, Dengkil. Skop bagi kerja-kerja baik pulih tersebut termasuklah memasang bumbung, mengecat dinding serta membersihkan halaman rumah. Selain bertujuan untuk membantu golongan yang dalam kesusahan, program ini turut diadakan bagi mengeratkan hubungan di antara penjawat awam dan juga penduduk kampung. Program ini juga dihadiri oleh ADUN Dengkil, YB Tuan Shahrum bin Mohd Sharif serta Pegawai Pejabat Kemajuan Zon Sepang & Hulu Langat, En. Shamsul bin Abu Bakar.  


Program Mobile Team dan Pelancaran Baik Pulih Rumah Secara Gotong Royong Touch Point ICU JPM Peringkat Parlimen Sabak Bernam


12 September 2017 - ICU JPM telah di amanahkan sebagai Lead Agency Projek Baik Pulih Rumah (Touch Point) yang bertujuan untuk meningkatkan Impak Sosial kepada isi rumah dan taraf hidup. Skop bantuan baik pulih melibatkan komponen asas baik pulih seperti bumbung,  siling,  tangga rumah, dapur,  tandas,  pintu, lantai, tingkap, perpaipan,  perparitan, pembentungan, pendawaian dan kerosakan-kerosakan kecil.

Program Mobile Team ke 20 buah rumah melibatkan agensi pemberi bantuan Daerah Sabak Bernam telah diadakan di Kampung Batu 38, Sabak Bernam dan Pelancaran Baik Pulih Rumah Secara Gotong Royong Touch Point ICU JPM Peringkat Parlimen Sabak Bernam telah dirasmikan oleh YB Dato Hj Mohd Fasiah Bin Hj Fakeh, Ahli Parlimen Sabak Bernam dan dilaksanakan oleh agensi/jabatan kerajaan Daerah Sabak Bernam, Pihak Bomba, Giat Mara, KEMAS, Pejabat Pelajaran Daerah, NGO yang melibatkan masyarakat setempat dengan kerjasama Pejabat Kemajuan Zon Sabak Bernam & Kuala Selangor dan Seksyen Pembasmian Kemiskinan, PPPN Selangor.